Monday, September 28, 2009

Agenda berterusan kuburkan politik Isa Samad di Bagan Pinang

Cadangan Pergerakan Wanita Umno yang mahukan calon Wanita diletakkan bertanding mewakili BN di DUN Bagan Pinang, 3 Oktober ini adalah usaha halus pihak tertentu dalam Umno menyekat bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kembali aktif dalam politik.

Hasrat Wanita disuarakan naib ketuanya, Dato' Kamalia Ibrahim dan kemudian disambut oleh ketuanya, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil – yang secara kebetulan kedua-duanya ini adalah orang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Senada dengan permintaan itu, Muhyiddin juga meminta Umno Negeri Sembilan menghantar lebih dari satu nama untuk memberi peluang pucuk pimpinan parti membuat pilihan, siapakah yang lebih layak diletakkan bertanding di situ, mewakili BN.

Lebih menarik, Menteri Besar Negeri Sembilan yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Mohd Isa tentulah menyambut baik permintaan Muhyiddin itu, kerana inilah masa yang sesuai untuknya memberi alasan kepada Umno Bahagian Teluk Kemang, “bukan saya nak begini tetapi Kuala Lumpur yang tekan”.

Mustahil Mohd Isa sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang tidak tahu secara lazimnya, bahagian perlulah menghantar lebih dari satu nama ke Kuala Lumpur untuk ditapis.

Bukankah Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, yang mana semua yang ingin bertanding mesti melaluinya, sebelum diserahkan ke Kuala Lumpur.

Muhyiddin pula sepatutnya tidak perlu meminta mana-mana pihak bercakap bagi pihak dirinya jika beliau dan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mahukan Mohd Isa disenaraikan.

Kenapa tidak mahu berterus-terang? Kenapa Najib atau Muhyiddin tidak boleh menghubungi Mohd Isa sendiri untuk memaklumkan supaya hantarlah nama sesiapa sahaja asalkan jangan Mohd Isa?

Apakah Najib dan Muhyiddin tidak kenal Mohd Isa? Atau Najib dan Muhyiddin tidak tahu bagaimana untuk menghubungi Mohd Isa?

Umno Bahagian Teluk Kemang tentunya merasakan, meletakkan Mohd Isa pun belum ada kepastian untuk menang, apatah lagi jika nama lain dicalonkan.

Bagi mereka yang menyokong Mohd Isa percaya, dengan pengalaman dan kedudukan Mohd Isa sebagai Ketua Umno Cawangan Bagan Pinang dan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, kerja-kerja berkempen menjadi semakin mudah tetapi jika ada nama baru mahu ditonjolkan, ia akan menghadapi kesukaran.

Isu menamakan hanya Mohd Isa sahaja sebagai calon di DUN Bagan Pinang dibocorkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang Faizal Ramli.

Jika Faizal tidak mendedahkan keputusan mesyuarat AJK Umno bahagian, tiada siapa yang tahu bahawa hanya nama Mohd Isa sahaja dicalonkan.

Apa tujuan Faizal sebenarnya? Adakah dia mahu isu ini menjadi kecoh atau dia takut jika tidak mendedahkannya, Menteri Besar dan Perdana Menteri akan memilih sesiapa sahaja yang mereka tidak memerlukan persetujuan dari Umno Bahagian Teluk Kemang.

Walaupun Muhyiddin mungkin menafikan beliau bermasalah dengan Mohd Isa tetapi permintaannya supaya Umno Teluk Kemang dan Umno Negeri Sembilan mendapatkan lebih dari satu nama sebenarnya mentafsirkan Kuala Lumpur kurang bersedia menerima kembali Mohd Isa untuk aktif berpolitik.

Kemungkinan juga, usaha ini bagi menyelamatkan kedudukan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar dan mungkin juga tidak mahu Mohd Isa muncul semula menjadi orang penting dalam Umno di peringkat negeri dan Pusat.

Ingat! Politik kotor Umno. Hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjadi perwakilan (G7) di Bahagian Kubang Pasu pun disekat dengan pelbagai cara hingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu dikalahkan.

Thursday, September 24, 2009

Ambil peluang ziarah Hari Raya untuk 'kempen'

SEREMBAN, 23 Sept: Ziarah Aidilfitri kali ini digunakan sebaiknya untuk 'berkempen' secara tidak langsung sekaligus memperkenalkan perjuangan Pakatan Rakyat kepada para pengundi yang akan melaksanakan tanggungajawab dan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bagan Pinang, 11 Oktober ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar berkata sungguhpun, nama calon diumumkan pada 29 September ini, namun gerak kerja penerangan dan 'kempen' tidak rasmi telah pun dimulakan kepada para pendokong Pakatan Rakyat dan penduduk setempat.
"Rumah terbuka PAS dan ahli-ahli, kita gunakan platform itu untuk memperkenalkan PAS dan Pakatan Rakyat kepada umum tentang perjuangan menuntut keadilan dan membela nasib rakyat,
"Ini Anugerah Allah beri kepada kita untuk membuat perubahan, oleh itu janganlah kita sia-siakan.
"Ini sebagai kayu ukur untuk melihat momentum rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang khas di Negeri ini, " ketika dihubungi Harakahdaily.
Sambil mengucapkan Salam Adifitri dan memohon maaf zahir batin kepada warga Negeri Sembilan khas di Bagan Pinang, Zulkifli mahu rakyat membuat pilihan yang tepat dan memilih keadilan Islam sebagai satu dasar perjuangan jelas.
"Diharapkan kemenangan Syawal akan turut dipanjangkan kepada kemenangan di Bagan Pinang kelak," katanya yang turut menyatakan hanya calon bersih, berwibawa dan diterima rakyat akan diketengahkan untuk bertanding nanti.
Sementara itu berhubung isu undi pos pula, beliau mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan 'polling' agent atau wakil parti masing-masing untuk berada sewaktu proses undian di buat di kem-kem terbabit.
Ini termasuk, mengira kertas undi pada hari yang sama kerana dibimbangi, akan berlaku manipulasi sekiranya ianya disimpan beberapa hari sebelum hari pengundian sebenar pada 11 Oktober itu.
Zulkifli berkata PAS mahu SPR turut membenarkan calonnya termasuk parti lawan diperkenalkan di kem-kem tentera dan balai polis supaya para pengundi pos ini dapat mengenali dengan lebih dekat bakal pemimpin mereka.
Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 2000, pembangkang dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan Umno tidak jauh berbeza. Sejak insiden itu berlaku, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera.
Selain itu, ketika ditanya berhubung kewibawaan dan pengaruh calon parti lawan, beliau berkata itu terpulang kepada Umno untuk menentukan siapa yang layak, kerana baginya yang penting adalah untuk memastikan kemenangan PAS semata-mata.
"Siapa pun calon, kita tidak kisah. Kalau calon ini (menyebut beberapa nama), kita akan ikut rentak dan gendang mereka.
"Lain calon, lain pendekatan yang bakal kita lakukan," katanya begitu optimis dengan peluang PAS untuk memenangi PRK kali ini.
Suruhanjaya Pilihanraya Raya Malaysia (SPR) menetapkan Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober.
DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos,
8,577 atau 62.77 peratus pengundi di Dun berkenaan terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa.
Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham Azman Mohd Nor yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi. _

Nizar seru warga Perak buat perubahan besar-besaran

IPOH, 23 SEPT:Bagi Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin, Syawal ini perlu dijadikan iktibar dan persediaan untuk seluruh rakyat di Perak melakukan perubahan besar-besaran sekiranya pilihan raya negeri dibuat pada masa yang terdekat.
Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis.
"Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zalim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan seperti SPR, SPRM, polis dan kehakiman.
"Tolak mana-mana yang berjuang di atas prinsip perkauman dan 'assobiyah' kerana itu tiada tempat dalam Islam.
"Nabi Muhammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalangannya mereka yang hidup-matinya, perjuangannya kerana bangsanya atau kaumnya," jelas Nizar dalam perutusan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Dalam perutusannya itu, beliau merasa pelik apabila umat Islam mengabaikan perintah Allah dan ibadat yang lain tetapi memberi keutamaan kepada amalan berpuasa.
Katanya hanya satu ayat dalam surah al-Baqarah (ayat 183) memerintah umat Islam berpuasa, tetapi dengan puluhan ayat yang mengarahkan solat dipandang sepi dan tidak ambil berat.
"Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahur, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu," katanya yang juga ADUN Pasir Panjang.
Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri yang turun dan diungkap oleh Nabi Muhammad pertama kalinya dalam peperangan Badar mengajak umat Islam membuat perubahan besar-besaran.
Namun malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan di kalangan masyarakat melayu sehingga hilang roh dan semangat takbir itu sendiri.
"Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya," katanya.
Selain itu katanya, sebagai ibadat tertua, puasa menuntut umat Islam memperolehi ketaqwaan sebagai tiket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak dan tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga.
"Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini.
"Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari. Bertemu di Bagan Pinang!" katanya dalam perutusan tersebut. _

Followers

[Lubuk Duit] Menjana PENDAPATAN TETAP dgn modal rm10 shj.Bisnes sms masa kini yg di niagakan secara networking. Daftar malalui sms bila-bila masa & di mana shj. rm10 KEUNTUNGAN 50% sehingga 5 LEVEL di bayar terus keakuan bank anda.SETIAP MINGGU. Maklumat dan komisen akan hantar dr semasa ke samasa.Peserta akan dapat formula RAHSIA WANG segera/flyer dan ruang IKLAN INTERNET selama 3888 hari.Untuk daftar taip myten-7168 dan sms kepada 014-6088404 Tunggu mesej dari admin.Pertanyaan sila tel 09-8444044